Di Malaysia hari ini hangat dengan isu Syiah yang berleluasa dengan pendedahan video-video, gambar dan pengakuan.
Saya juga tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan isu Syiah di Malaysia kerana Syiah ini amat berbahaya.
Sebagai umat Islam, wajib kita ketahui permasalahan ini untuk mengelak dari terjerumus ataupun mengikut amalan mereka dimana sudah difatwakan haram oleh ulama-ulama besar.
saya tertarik dengan penulisan seorang tokoh agama terkenal tanah air yang menceritakan perihal Syiah.
sama-sama kita hayati penulisan beliau, moga-moga dapat manfaat.
_________________________________________________________________________________
Syiah adalah satu mazhab yang hidup atas ‘nostalgia’ lampau.
 Muharram adalah salah satu musim golongan Syiah menzahirkan tangisan 
mereka terhadap sejarah. Isu pembunuhan Saidina Hussain yang sudah 
berlalu empat belas kurun yang lepas diwarisi secara dendam yang tidak 
berkesudahan. Ramai yang menjadi mangsa kemarahan itu. Dendam itu bukan 
sahaja terhadap mereka yang terlibat dalam krisis lampau tersebut, 
tetapi turut dibabitkan mereka yang selepas itu yang enggan berkongsi 
tafsiran politik yang sama. Maka, Ahlus Sunnah menjadi sasaran ‘kemarahan warisan’.
Syiah sebenarnya bukan bermula dengan isu pokok dalam Islam. Ia hanya bermula dari sebuah aliran politik atau dalam istilah ‘politik kepartian’ lalu
 dibina dan dibajai sehingga menjadi dogma agama yang tidak dapat 
dibuang lagi. Isu-isu yang berkaitan dengan polisi pentadbiran pada 
zaman Saidina Uthman, diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk 
membina aliran politik pada zaman tersebut. Hari demi hari, dalam usaha 
mengukuhkan ‘parti’ dan menambah pengikut maka pelbagai nas-nas
 mula diberikan tafsiran yang mempunyai kepentingan politik, bahkan 
diwujudkan nas-nas baru bersifat politik yang sengaja diada-adakan.
Emosi
Ertinya, krisis politik dalam kalangan umat Islam selepas kewafatan 
Nabi s.a.w telah diwarisi secara emosi dan kekeliruan. Emosi di sini 
bermaksud isu-isu itu dilihat hanya pada sudut kehendak aliran politik 
tertentu, atau sentimen tertentu tanpa cuba merongkaikannya atau 
memahaminya secara holistik. Isu khalifah atau kepimpinan yang cuba 
dijadikan warisan keluarga Nabi s.a.w (Ahlul Bait) jika diterima akan 
menafikan sifat Islam sebagai agama yang tidak berteraskan nepotism atau
 kepentingan keluarga.
Kelayakan manusia dalam kepimpinan menurut nas-nas Islam yang 
dipegang dalam aliran Ahlus Sunnah wal Jama’ah adalah berasaskan 
kemampuan (al-quwwah) dan amanah (al-amanah). Sistem warisan dalam 
kepimpinan seperti yang dipegang oleh Syiah akan mengujudkan kasta aristocrat atau bangsawan yang akhirnya mereka dianggap infallible (maksum)
 yang tidak boleh dipertikaikan. Ini kerana kelayakan kepimpinan itu 
bukan kerana penguasaan mereka terhadap konsep kepimpinan sebaliknya 
secara warisan yang akhirnya mereka bagaikan wakil Tuhan yang menerima 
wahyu. Lalu mereka sentiasa dianggap benar dapat segala tindakan. Maka 
dengan itu akan terbengkalailah ruh syura dalam pemilihan kepimpinan.
Kekeliruan
Adapun, di sudut kekeliruan warisan ia membabitkan kepercayaan 
pengikut Syiah terhadap apa yang diwarisi dari fakta-fakta sejarah. 
Peristiwa-peristiwa sejarah lampau telah diwarisi turun temurun secara 
yakin tanpa mereka menyemak ketepatan fakta-fakta tersebut, atau ia 
sebenarnya hanya desus-desas politik atau tokok-tambah riwayat atas 
kepentingan politik.
Berasaskan apa yang mereka baca atau warisi mengenai cerita-cerita 
buruk para sahabat Nabi s.a.w khususnya Abu Bakar, ‘Umar, Uthman, 
Muawiyah, ‘Amr bin al-‘As atau selain itu, mereka telan bulat-bulat 
bersama dengan kebencian dan kemarahan ‘politik warisan’. Mereka tidak sempat lagi bertanya sejauh manakah kebenaran fakta tersebut, kerana berita buruk itu adalah berita ‘musuh politik’ mereka.
 Demikian itu seperti yang kita lihat musuh-musuh politik apabila 
bertarung antara satu sama lain. Kisah buruk musuh semua ditelan 
bulat-bulat dan disebarkan seluas-luasnya.
Hal ini bermula sejak penghujung pemerintahan ‘Uthman bin ‘Affan. 
Fitnah bermula. Dia dituduh menyalahgunakan kuasa, menjaga kepentingan 
keluarga dan pelbagai lagi. Walaupun sejarah mencatatkan Saidina ‘Uthman
 telah menjawab semua isu tersebut dengan hebat dan mantap, tetapi 
jawapan-jawapan itu tidak pernah sampai kepada mereka, kerana mereka 
enggan membaca atau mengetahui kebenaran musuh politik mereka.
Sebenarnya, Saidina Uthman telah cuba membendung gerakan fitnah yang dilancarkan oleh seorang yahudi bernama Abdullah bin Saba –suatu watak yang diakui kewujudannya oleh sumber Syiah dan Sunni-.
 Dialah yang mencanangkan kempen menjatuhkan ‘Uthman. Dia campuri 
isu-isu politiknya dengan pelbagai tafsiran agama, termasuklah kononnya 
‘Ali bin Abi Talib ialah warisan Nabi s.a.w dalam kepimpinan politik. 
Rakyat terpinga-pinga. Mereka tiada pengalaman politik seperti itu.
Khalifah Uthman yang warak itu menulis surat rakyat:
“Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku memerintah, aku telah jadikan umat ini dikuasai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada para pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka hak mereka. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan diberikan kepada rakyat. Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca secara sembunyi, atau sesiapa sahaja yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)”. Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata: “Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/342. Beirut: Rawai’ al-Turath al-‘Arabi).
Namun oleh kerana reka cerita itu atas kepentingan politik, maka 
fitnah terus disebarkan. Para sahabat Nabi s.a.w tidak terpengaruh 
dengan fitnah itu, tetapi ia mempengaruhi mereka yang bukan sahabat yang
 hidup di zaman tersebut. Sehingga para pemberontak datang ke Madinah, 
berdialog dengan ‘Uthman sendiri. Segala fitnah telah ‘Uthman jawab 
dengan kemas. Mereka terbungkam. Para sahabat yang menyaksikan mengakui 
hujah-hujah ‘Uthman.
Antaranya Uthman berkata:
“Ketahuilah ketika aku dilantik menjadi khalifah, aku adalah orang ‘Arab yang paling banyak mempunyai unta dan kambing. Namun sekarang tidak ada bagiku melainkan dua ekor unta yang aku gunakan untuk menunaikan haji… mereka mengatakan bahawa aku sayangkan kaum keluargaku dan memberikan mereka harta. Sebenarnya, perasaan sayangku kepada kaum keluargaku tidak menyebabkan aku bertindak kepada mereka adalah daripada hartaku sendiri. Aku tidak pernah menghalalkan harta benda orang Islam untuk diriku, tidak juga untuk sesiapa. Demi Allah! Aku tidak pernah mengambil sedikit pun harta atau cukai dari mana-mana wilayah..” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/348).
Apa yang pasti tulisan Syiah tidak akan memetik hal ini. Kerana, ini bukan apa yang mereka mahu.
Riwayat Sejarah
Namun, disebabkan fitnah berterusan, khalifah Uthman dibunuh. Selepas
 pembunuhan ‘Uthman, dunia Islam terus tidak tenteram. Fitnah makin 
banyak. Berbagai cerita ditokok tambah. Dari cerita politik Saidina 
‘Uthman sehingga berlarutan isu Perang Jamal, Siffin, pembunuhan Saidina
 Hussain dan pelbagai lagi. Buku-buku sejarah mencatatkan pelbagai 
perkara yang bercampur aduk antara satu sama lain. Cerita-cerita 
bercanggahan antara satu sama lain. Ada riwayat pro-syiah dan ada yang 
pro-sunni. Kesemuanya bergantung kepada perawi (narrator).
Jika dia fanatik syiah seperti Abu Mikhnaf dan Hisyam bin Saib 
al-Kalbi maka buruk ‘Uthman, Mu’awiyah dan lain-lain. Kitab al-Umam wa 
al-Muluk atau dikenali dengan Tarikh al-Tabari yang menjadi pegangan 
sejarah Sunnah dan Syiah itu meriwayat pelbagai riwayat yang 
bercanggahan antara satu sama lain. Ini kerana, al-Imam al-Tabari (w. 
310) mencatatkan apa sahaja yang sampai kepadanya; tanpa mengambil kira 
samada sahih ataupun palsu. Ini kerana beliau membiarkan agar para 
pembacanya menilai berdasarkan sanad-sanad yang dikemukakan dan membuat 
pembandingan sendiri. Ini disebut sendiri oleh al-Tabari dalam 
mukadimahnya:
“Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”.(Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 1/8).
Kita semua tidak menyaksikan apa yang sebenarnya berlaku. Demikian 
juga al-Tabari. Hanya catatan dalam pelbagai rupa yang ada. Membaca 
sejarah Islam memerlukan pengetahuan tentang disiplinnya. Maka kita 
hendaklah mematuhi arahan al-Quran: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu“.(Surah al-Hujarat: 6).
Justeru Ahlus Sunnah mengambil pendirian yang berbeza dalam isu sejarah ini dengan Syiah. Kata al-Imam Ibn Taimiyyah (w. 728):
“Ahlus Sunnah wal Jama’ah wa al-Jama’ah berlepas diri daripada sikap golongan al-Rafidah (syiah) yang membenci dan mencerca para sahabat. Mereka juga berlepas diri daripada sikap golongan al-Nasibah yang menyakiti Ahl al-Bayt dengan perkataan dan perbuatan mereka. Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengambil sikap mendiamkan diri tentang pertelingkahan yang berlaku antara para sahabat. Mereka mengatakan bahawa kisah-kisah yang diriwayatkan tentang keburukan para sahabat, antaranya adalah dusta atau ia sengaja ditokok tambah atau dikurangkan atau diubah daripada ceritanya yang asal“ (Ibn Taymiyyah, Al-’Aqidah al-Wasattiyyah, hlm. 201).
Atas kedukaan sejarah yang ditokok-tambah itu, atau direka 
berdasarkan keperluan politik itu, dibina pula berbagai doktrin dan 
dogma agama yang lain sehingga Syiah akhirnya lahir menjadi satu mazhab 
yang besar yang akan mewarisi dendam sejarah dari zaman ke zaman. Saya 
pernah menulis sebuah buku berjudul Pertelingkahan Para Sahabat: Antara Ketulenen Fakta dan Pembohongan Sejarah. Persoalan ini telah saya jelaskan dengan lebih terperinci.
Apapun, hari ini Syiah telah wujud. Mereka adalah warisan sejarah silam.
 Tangisan dan amarah yang tidak bersudahan. Hanya atas cerita lama, 
mereka meriwayatkan sengsara. Soal sejauh manakah ketulenan cerita bukan
 lagi persoalan. Namun bagi kita, sikap yang adil adalah berdialog 
dengan mereka. Mereka umat Islam dan ada kelebihan tersendiri. Mereka 
mazhab yang lahir dari isu politik, maka mereka sangat mahir berpolitik.
 Bagi kita, menghukum tanpa berhujah adalah sikap yang tidak adil. 
Berhujah tanpa sudi mendengar hujah orang lain, adalah keras kepala. 
Ahlus Sunnah sederhana dalam segala hal. 
- Dr Muhd Asri Zainul Abidin

 
No comments:
Post a Comment