Pages

22 June 2013

Info: Cuti-cuti di Kelantan

Kelantan Darul Naim (Jawi: كلنتن دار النعيم, Loghat Kelantan: Klatè) atau nama pendeknya Kelantan merupakan sebuah negeri daripada 13 buah negeri di Malaysia yang kaya dengan sumber asli. Mempunyai keluasan lebih kurang 14,922 km², terletak di timur laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan, dan bersempadan dengan Thailand. Kelantan ialah sebuah negeri agraria (pertanian) yang mempunyai banyak kawasan tanaman padi dan perkampungan nelayan.

Berdasarkan pada Bancian Tahun 2000, Kelantan mempunyai seramai 1,313,014 orang penduduk. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar dengan 95%, diikuti dengan kaum Cina 3.8%, kaum India 0.3% dan lain-lain kaum 0.9%. Berdasarkan bancian tersebut, 95% beragama Islam, diikuti dengan agama Buddha 4.4%, Kristian 0.2%, Hindu 0.2% dan lain-lain agama 0.2%.

 Fail:Flag of Kelantan.svg

Tempat- tempat menarik di Kelantan:

Pasar Siti Khadijah

Cara yang bagus untuk mengenali pekan di Malaysia ialah dengan melawat ke pasarnya, pusat ekonomi masyarakat. Pasar Siti Khadijah dinamakan bersempena isteri Nabi Muhammad yang merupakan seorang usahawan - nama yang sesuai bagi pasar ini kerana perniagaan di sini dijalankan oleh kaum wanita.

Pasar ini ada sesuatu untuk semua orang, dari hasil ternakan segar sehinggalah hasil kraf dan kuih-muih tradisional. Ia juga merupakan secebis paparan kehidupan warga Kelantan, penuh warna-warni, serta kepelbagaian masyarakat tempatan.


Pantai Bisikan Bayu

Pantai Bisikan Bayu, juga dikenali sebagai Pantai Dalam Rhu, hanya 50km pemanduan penuh panorama ke selatan Kota Bharu, ibu negeri Kelantan. Di sekitar kampung Semerak, bayu lembut melambai pohon cemara yang berbaris di sepanjang pantai, menghasilkan bunyi gemersik, yang menurut penduduk tempatan, bunyinya seperti bisikan yang menenangkan.

Aktiviti meluncur boleh dilakukan pada masa tertentu setiap tahun, dan peluncur angin akan dapat meluncur semasa musim Monsun Utara-Timur dari bulan November hingga April.

Namun tiada apa dapat menandingi nikmat berehat di bawah pepohon cemara, merenung jauh ke laut, mendengar deruan bayu laut dan menghirup air kelapa sejuk.


Taman Negeri Gunung Stong

Taman Negeri Gunung Stong (GSSP) ialah sebuah kawasan berhutan, keseluruhan keluasan ialah 21,950 hektar dengan beberapa puncak gunung yang terkenal. Kawasan ini sungguh indah dengan air terjun tertinggi di Malaysia, Air Terjun Jelawang setinggi tiga tingkat.

Lanskap yang berceranggah di GSSP ini menawarkan banyak pengembaraan yang mengujakan untuk sesiapa yang sukakan alam semula jadi dan aktiviti luar. GSSP bukan sahaja mempunyai nilai ekopelancongan tetapi ia juga menjadi kawasan pemuliharaan yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna.

Haiwan seperti gajah Asia, seladang, kuang, harimau Malaya, kambing gurun dan tapir terkenal kerana mudah kelihatan merayau di taman ini. Dengan bantuan daripada pemandu trek yang layak serta berpengetahuan, penjelajahan anda di GSSP akan lebih bermakna kerana aspek menarik mengenai keplebagaian bio kawasan ini lebih terserlah.

Pelindung Batuan Bogo, yang terbentuk seperti gua, sebuah tempat berehat dalam perjalanan ke Gunung Stong, memakan masa empat jam ke sini berjalan kaki. Sementara itu, Gunung Ayam, puncak tertinggi di kawasan ini setinggi 1,504m, ialah tempat yang ideal untuk melihat matahari terbit dan terbenam.

Tapak perkhemahan tersedia untuk bermalam. Lawati gua batu kapur berusia 225 juta tahun yang menakjubkan di Dabong yang menghunikan beberapa spesis kelawar dan flora yang jarang ditemui, termasuk spesis pohon herba yang hampir pupus.

Kampung Kraftangan dan Muzium Kraf

Juga dikenali sebagai "Balai Getam Guri", Kampung Kraftangan dan Muzium Kraf ini terletak di zon kebudayaan Kota Bharu, dalam jarak berjalan kaki dari Istana Balai Besar dan Bazar Buluh Kubu.

Muzium Kraf menempatkan banyak hasil kerja tangan halus Kelantan.

Sebuah restoran dipanggil "Balai Sulur Gadung" terletak di tingkat bawah bangunan ini, di mana pengunjung boleh merasai makanan Kelantan yang terkenal.

Bersebelahan Kampung Kraftangan, disediakan sebuah tempat bagi pengunjung melihat bagaimana hasil kraf ini dihasilkan. Demonstrasi sulaman tradisional, tenunan songket, mencanting batik, kerja perak dan ukiran kayu dilakukan oleh tukang yang mahir. Produk yang dihasilkan oleh mereka juga dijual di sini.

Muzium ini dibuka dari 8.30 pagi - 4.45 petang setiap hari (kecuali Jumaat).




No comments:

Post a Comment