Merdeka, Merdeka, Merdeka ! - Tepat jam 
12.00 malam 31 Ogos 1957 bertempat di Padang Kelab Selangor Bendera 
Union Jack diturunkan dan Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan 
dengan penuh kegemilangan, melambangkan kemerdekaan negara yang 
tercinta. Beribu-ribu rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa
 serta pejuang-pejuang kemerdekaan menyaksikan peristiwa tersebut dengan
 penuh rasa bangga.
Sejarah penerimaan Bendera Persekutuan 
Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-Raja di mana 
sebuah Jawatankuasa telah ditubuhkan dalam tahun 1949 untuk menimbang 
dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk Bendera Persekutuan 
Tanah Melayu.
Satu pertandingan Peringkat Kebangsaan 
telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. 
Pertandingan ini diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam 
tahun 1949. Seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga 
reka bentuk bendera dipilih ke peringkat akhir. Reka bentuk pertama 
ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 
11 bintang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk
 pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan 
mengelilingi Keris Bersilang tersebut. Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur
 biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.
Majlis Perundangan Persekutuan menjemput
 orang ramai memberikan pendapat kepada ketiga-tiga reka bentuk 
tersebut. Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay 
Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pad 28 November 1949 menunjukkan 
majoriti orang ramai memilih reka bentuk ketiga. Reka bentuk tersebut 
adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu Encik Mohamad bin
 Hamzah.
Reka bentuk bendera tersebut dengan 
beberapa pindaan telah mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada
 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan 
Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua 
Setiausaha Negara seperti berikut:
"That in the opinion of this Council, the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:-
Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."
Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."
Reka bentuk bendera tersebut telah 
mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Pertama kali Bendera
 Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam majlis menaikkan 
bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26
 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh 
D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu dan Pegawai-Pegawai King George VI.
Sejarah Bendera Malaysia
Bendera Malaysia adalah berasal dari 
Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja 
Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu 
Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah 
memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut 
reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada 
bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah 
negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.
Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura
 dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru 
iaitu Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di 
seluruh negara untuk melambangkan lahirnya Melaysia pada 16 September, 
1963.
Sungguhpun Singapura berpisah daripada 
Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus 
dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang pecah 14 itu 
membawa maksud keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri 
dan Kerajaan Persekutuan.
 
No comments:
Post a Comment